Author: admin
• Saturday, October 31st, 2009

Selepas hampir 2 tahun berblogging di nizhama2.blogspot.com, kini langkah disusun untuk berblog di laman sendiri. Berbeza dengan nizhama2.blogspot.com yang bertujuan melatih menulis dalam Bahasa Inggeris, nizhama2-motivasipendikandiri adalah blog di mana saya akan memotivasikan diri menjelang usia matangnya seorang insan, usia 40 tahun yang akan muncul pada 2013 (jika dipanjangkan usia)

Segala artikel di dalam blog ini bertujuan sebagai motivasi diri, dikutip dari pengalaman kehidupan, disulami dengan melihat dan merenung pengalaman orang lain. Sebagai manusia, setiap insan adalah unik, keunikan itu yang ingin saya tonjolkan dalam blog ini.

Seperti kebanyakan blog-blog yang ada di dunia internet, penulisan saya di sini berbentuk santai dan tidak terlalu ilmiah. Tempat di mana saya boleh mencurahkan idea tanpa terikat dengan mana-mana peraturan khusus melainkan berusaha untuk tidak menyalahi hukum Syara’. Segala pendapat dan pandangan adalah mengikut keadaan di mana dan bila saya menulis, mood dan lain-lain. Tidak mustahil pandangan saya pada satu hari akan berbeza dengan pandangan saya pada hari berikutnya.

Segala komen dari pembaca sangat dialu-alukan…  Sebagai manusia, cermin kita adalah sahabat-sahabat kita (bahkan musuh-musuh kita).  Semoga pembaca saya boleh menjadi cermin terbaik buat diri saya.

Category: Uncategorized  | One Comment
Author: admin
• Wednesday, August 18th, 2010

Sebenarnya ada dua keputusan penting yang perlu dibuat dalam masa terdekat. Yang pertama melibatkan blog tidak bermaya ini. Perlu kubiarkan atau tutup sahaja? USD7 setahun mungkin tidak banyak, lebih2 lagi earning adsense yang agak baik, tiada masalah akau gunakan duit adsense untuk tampung domain ini. Tapi persoalannya kalau dibiarkan tanpa isi, gersang, ber’abuk’ macam ni, untu apa USD7 itu dibelanjakan? Aku ada sebulan sebulan keputusan dibuat…

Kedua : Rahsia…

Kenapa rahsia lak? Tahlah, kan blog tempat mencurahkan perasaan, curahkan je lah… bakpe main rahsia2 lak…

Rahsia best gak… tapi yang ini memang perlu SEGERA… Kalau boleh hari ni gak buat… tapi dok leh la pulok…

_________________________________________________________

Selesai tentang DUA keputusan BESAR yang belum ada keputusan lagi.

Hari ni aku bentangkan ‘catatan’ tentang Hadith-hadith Dho’if Dalam Masyarakat. Tajuk asal Dalam Masyarakat Terengganu… tapi pandai-pandai lak ubah tajuk… Ya lah kan, kalau buat tajuk asal tu kenalah buat kajian lapangan dulu baru sah… Pembentangan dalaman untuk kakitangan IQ Terengganu.

Yang bestnya semangat menulis tentang hadith datang semula… best gak seharian -kelmarin- bermain dengan kitab-kitab…

Tajuk ni memang PANAS… Bukan mudah nak cerita pasal hadith dho’if, bukan semua orang boleh terima methodologi ulama Hadith dalam mengupas masalah Hadith. Hairan juga kadang2, kalau ada masalah Fiqh dirujuk ulama Fiqh, kalau ada masalah aqidah boleh rujuk tokoh2 aqidah, tapi kalau orang Hadith bercakap tentang Hadith katanya lawan arus…

Alhamdulillah perbahasan kat IQ ni tak panas macam kat luar. Kitaorang mungkin tak biasa lagi kot berbahas panas2. Kredit kepada Dr Ahmad Bazli, pengarah kesayangan kami kerana hidupkan program Wacana Intelektual ni… dah berbelas tahun tinggalkan medan, sampai nak berbahas pun takut. Kalau ulama takut berbahas ilmu akan mati, tapi tulah kan, bukan semua orang mampu berbahas. Kalau kerja belakang tabir tu OK lah… mujur gak kat Malaysia ni ada Dr MAZA dan geng2 dia, tapi kadang2 tu nampak cam agak keras jugak….

_________________________________________________________

Tajuk baru lak :

Baru sekejap tadi ada perjumpaan untuk pensyarah yang belum tetap di IQ ni. Nampaknya ‘ijtihad’ awal tahun lepas di antara memilih buat M.A. atau Diploma Pendidikan tersilap. Geng2 yang buat Diploma akan ditawarkan ke DG41 tak lama… terlepas lagi peluang. Namun aku tak perlu menyesal, dalam setiap keputusan yang kita buat pasti ada HIKMAHnya…

Bercerita tentang M.A. …. aku di persimpangan sekarang …

Author: admin
• Wednesday, July 21st, 2010

Agaknya memang manusia suka berjanji untuk dimungkiri kemudiannya… Mungkir janji salah satu tanda munafik, kena faham betul2 tu, tanda orang munafik tidak bermakna pelakunya munafik, munafik itu berat, orang tidak beriman yang menzahirkan dirinya beriman…

Seboleh mungkin diri ini berusaha untuk menunaikan segala janji yang dibuat. Malangnya semakin lama hidup di muka bumi Allah ni, makin banyak janji-janji yang tinggal janji semata-mata… Bukan tidak berusaha, tapi kemampuan diri membatasi kehendak… Mungkin lebih sesuai kalau kuukapkan janji-janji itu sebagai azam… Azam tinggal azam…

Dengan 2010 telah memasuki separuh yang kedua – orang Arab kata an-nisf ath-thani- ternyata janji -azam- kepada diri sendiri tentang blog ini telah dimungkiri semungkir-mungkirnya -terpengaruh dengan gaya Arab ni-. Ternyata 3 posting seminggu sangat sukar untuk dilakukan. Bayangkan posting terakhir bertarikh 1 Mac… huh3…

4 bulan setengah blog ini dibiarkan sepi… Namun satu berita baik pengunjung tetap tiba, gara-gara kemahiran tahap sederhana dalam SEO… Kasihan juga kepada pengunjung yang datang, melawat blog yang gersang, sang pemiliknya lebih sibuk berFace Book -ancaman baru dunia blog- atau berSEO untuk blog-blog adsense… he3…

Baru je menulis beberapa patah kata, ‘kesibukan’ lak datang menjenguk… Hidup kita ni memang sibuk ke? atau buat-buat sibuk????

Category: Motivasi  | Tags: , ,  | Leave a Comment
Author: admin
• Monday, March 01st, 2010

Agak lama blog ini ditinggalkan, tanpa catatan, tanpa up-date, tanpa pengunjung -mungkin-, tanpa optimization… nizhama2-motivasi-pendidikan.info ini seakan-akan tanah gersang, dibiarkan tanpa kawalan, sebabnya kesibukan luar biasa sepanjang 2 bulan pertama ini. Cita-cita untuk membina 4 blog sebulan juga tinggal cita-cita je…

Sebagai Ketua Jabatan Pangajian Berterusan, IQ Terengganu, tugasan utama adalah menjaga hampir 1500 peserta Kulliyyah al-Furqaan, peserta dewasa yang ingin mendalami ilmu berkaitan al-Quran. Bulan Januari dan Februari adalah bulan pemprosesan permohonan. Lebih 2500 permohonan diterima, hanya 1500 tempat mampu disediakan, pasti sekali pemohon yang tidak berjaya akan melakukan pelbagai cara supaya diterima. Peserta yang berjaya pula cuba mendapatkan masa terbaik untuk diri mereka, menyebabkan ketidakseimbangan yang ketara bilangan peserta dalam kelas. Menguruskan orang dewasa berkali ganda lebih sukar dari menguruskan pelajar biasa…

Rasanya blog ini tidak sesuai dijadikan medan untuk menceritakan secara terperinci apayang berlaku sepanjang dua minggu ini. Cukup sebagai kesimpulan : diri ini yang jarang-jarang ‘naik darah’ sentiasa ‘menggelegak’, satu situasi yang anih untukku. Kata-kata Ustaz Zaini pada penghujung tahun lepas : jawatan ini hanya sesuai untuk orang berhati ‘singa’ mungkin ada benarnya. Tapi rasanya daku telah melakukan yang sebaik mungkin, bukan yang terbaik, tetapi kelas berjalan lancar semenjak 16 Februari lepas…

Untuk online lak, sepanjang dua bulan ini, aku hanya menumpukan perhatian untuk optimise onlinebachelordegreeblog.info .  Sebabnya blog ini dibuat untuk menyahut cabaran di WangCyber.com . Setelah banyak menghabiskan masa belajar sedikit demi sedikit SEO, teringin juga mencuba kebolehan diri. Penyertaan lebih kepada menimba pengalaman, memang tidak bermimpi untuk menang kerana WangCyber dipenuhi oleh otai-otai SEO. Cara SEO aku adalah mudah, jalankan Linking Loophole  dua kali seminggu, sempat juga guna EVO2 sekali, guna trial 5 hari… Agak mengejutkan blog aku mampu mencabar setelah blog-blog otai yang mendahului di awal cabaran dikenakan penalti oleh pakcik G, rupanya keyword online bachelor degreesangat dijaga oleh pakcik G, mungkin sebab berkaitan dengan pendidikan… Hari-hari terakhir aku buat operasi DO OR DIE,setiap hari satu pusingan LL khas untuk blog itu, keputusannya diumumkan semalam jam 2 petang, aku mendapat tempat ketiga. Tempat Ketiga dalam pertandingan di WangCyber adalah satu kejayaan besar.

Hari ini aku ambil cuti, bukan meraikan kemenangan, tapi kerana Hammad demam sejak semalam. Hari ini juga aku gunakan masa untuk menilai kembali apa yang telah aku lakukan sepanjang dua bulan ini, sambil menambah ilmu SEO dengan membaca ebook saudara inspiration, penganjur cabaran. Pelaburan terbaik adalah menambah ilmu, kan…

Agak malang aku masih belum memulakan langkah untuk MA. Rasanya sepanjang empat semester ini, duit ‘melayang’ sebegitu sahaja. Kalau diikutkan kepentingan, mendapatkan Ijazah Sarjana patut diutamakan, tapi kesibukan menguruskan Kulliyyah al-Furqaan, disamping hobi ‘online’ menjadi penghalang. Dua minggu berikutnya akan aku jadikan tempoh untuk MA aku lak… IN SYA ALLAH.

Author: admin
• Friday, January 08th, 2010

Tahun 2010 bermula dengan cabaran antara agama di Malaysia apabila penggunaan kalimah Allah untuk agama selain Islam menjadi satu isu besar. Pelbagai hujah digunakan oleh setiap kumpulan untuk menegakkan “kebenaran” masing-masing. Bukan isu ini yang hendak saya bawa dalam posting ini. Terlalu banyak artikel yang boleh dibaca, samada yang pro atau kontra.Pendapat mudah saya : Ya, terdapat perbezaan pandangan di kalangan cendiakawan Islam dalam masalah ini, tetapi dalam kontek masyarakat Malaysia, penggunaan Lafaz Jalalah Allah hendaklah dikhususkan kepada umat Islam sahaja. Dalam Bahasa Malaysia adalah jelas tuhan adalah kata am manakala Allah adalah nama khas, Allah adalah tuhan bagi umat Islam -yang sememangnya Tuhan sekelian Alam-.

Sekali lagi posting ini bukan berkaitan dengan isu tersebut. Saya memulakan tahun 1431 Hijrah dan 2010 Masihi dengan banyak berita-berita gembira untuk saya.

Pada 24 Disember saya mendapat panggilan telefon dari KDN supaya ke Putrajaya pada 29 Disember untuk menerima keputusan permohonan kewarganegaraan. Alhamdulillah. Walaupun tidak dimaklumkan telah berjaya, tetapi berdasarkan pengalaman orang terdahulu, dipanggil ke Putrajaya bermakna permohonan diluluskan.

Sehari sebelumnya saya mendapat tahu saya akan membentangkan kertas kerja di UM. Walaupun pembentangan selari, tetapi ini pengalaman pertama saya, lebih-lebih lagi di universiti tertua negara. Kertas kerja tersebut atas usaha bersama saya serta kekanda di UDM, Ustaz Mohd Ali dan penyelianya Dr Basri Ibrahim.

Saya bertolak ke ibu kota pada 28 Disember, menginap di Residense Inn Uniten bersama isteri dan anak tercinta. Jam 8.30 pagi 29 Disember saya sudah berada di Putrajaya. Majlisnya ringkas tetapi sangat bermakna kepada penerima-penerima surat kelulusan kewarganegaraan tersebut. Alhamdulillah, selepas 30 tahun di bumi Malaysia ini, saya akhirnya diperakui sebagai warganya yang sah. Tidak dapat digambarkan dengan tulisan kegembiraan mendapat kewarganegaraan ini. Bayangkan dari seseorang yang tidak ada sebarang kewarganegaraan, ini saya sah menjadi warga Malaysia, bumi bertuah ini.

Petang itu saya membawa isteri dan anak ke Aquaria KLCC. Seronok melalui terowong, seakan-akan berada di bawah dasar laut. Malamnya saya ke Rumah Universiti, terima kasih kepada sahabat lama, Dr Faisal yang membantu.

30 dan 31 Disember membawa pengalaman berbeza buat saya. Ini kali pertama saya terlibat langsung dengan Seminar Takhrij Hadith Nusantara, nama ringkasnya SITAH. tahun lepas seminar ini digabungkan dengan Seminar al-Quran. Ramai sahabat-sahabat seangkatan dari UIM ditemui. Ada yang telah bergelar Dr, ada yang dalam perjalanan,meninggalkan jauh diri ini yang terhenti di pertengahan jalan setelah memasuki dunia pekerjaan, rezeki dan peluang masing-masing. Harapannya seminar ini merupakan titik permulaan untuk saya kembali mengejar kecemerlangan lmu yang telah lama ditinggalkan.

5 Januari, Selasa lepas saya menerima perkhabaran gembira yang lain. Saya dilantik sebagai Ketua Jabatan Pengajian Berterusan di IQ Terengganu, satu tanggungjawab yang besar menanti saya. Saya gembira bukan kerana perlantikan, tetapi lebih kepada kepuasan bekerja, sekurang-kurangnya saya dinilai dengan baik oleh majikan.

Category: Motivasi  | Tags:  | Leave a Comment
Author: admin
• Tuesday, December 22nd, 2009

Hasrat di hati ketika memulakan blog ini beberapa ketika dahulu adalah 3 post setiap minggu. Rasanya itu adalah sasaran yang realistik. Namun setakat ini masa masih penghalang utama. Dengan segala kesibukan di tempat kerja, ditambah dengan secara tergesa-gesa menyiapkan satu kertas kerja untuk SITAH, blog ini ditinggalkan sepi tanpa kunjungan.

5 hari telah berlalu dari tahun 1431 Hijrah. Lagi  9 hari 2010 Masihi pula bakal menjelma. Sekali lagi di awl -dan akhit- tahun ini pelbagai azam diluahkan, samada bertulis atau bersuara atau tanpa tulisan dan suara. Azam tetap azam. Pastinya azam biasa, tahun 1431 Hijrah dan 2010 Masihi akan membawa sinar yang lebih cerah berbanding 1430H dan 2009M.

Biasanya -tapi dah tak jadi biasa semenjak 6 tahun lepas- saya menulis azam tersebut di awal diari – tiada diari semenjak 2004M-. Kali ni biarlah satu dunia melihat azam besar saya. Tak salah kan berkongsi yang baik.

1- Jadi muslim yang lebih baik… Kalau di’tafsilkan’ akan jadi cerpen nanti.

2- Dua projek khusus untuk 2010M : Dapatkan M.A di pertengahan 2011 dan 100 blog di akhir 2010.

Bagi yang tak biasa dengan dunia blog pasti tertanya : buat apa dengan 100 blog? Adalah sebabnya kan… Kiraan mudah, kalau setiap blog mampu memberikan pulangan  USD10 sebulan, dah jadi USD1000 dengan 100 blog, lumayan tu bang…

Untuk nizhama-motivasi-pendidikan.info, blueprint untuk 2010 adalah seperti berikut : tiga segmen secara rawak : motivasi, pendidikan dan diari -bahaya ni, diari online-. Sasaran masih lagi 2-3 posting seminggu.

Penutup bicara adalah gambar Hammad di Sunway Lagoon pada 11 Disember 2009… CUTI-CUTI 1MALAYSIA…

Category: Uncategorized  | Tags: , ,  | Leave a Comment
Author: admin
• Monday, November 16th, 2009

Terlanjur menggoogle perkataan Wahabi di dunia internet, ini adalah artikel berbahasa Melayu yang mempunyai rangking tertinggi dengan Keyword Wahabi (pada 16/11/09). Ditulis oleh Ghafani Awang Teh dan disiarkan di laman wab JAKIM. Ada fakta yang boleh dipertikaikan, tetapi masih boleh dijadikan rujukan yang agak baik berkaitan Wahabi …

http://www.islam.gov.my/portal/lihat.php?jakim=894

‘Fahaman Wahabi Berasaskan Pemikiran Ibnu Taimiyyah’ Oleh: Ghafani Awang Teh (JAKIM)
Gerakan Wahabi diasaskan oleh Imam Muhammad bin Abdul Wahhab At-Tamimi (1703 – 1791 M) lahir di Uyaynah utara Riyadh di daerah Nejad Arab Saudi. Bapanya adalah seorang qadhi di Nejad yang berpegang kepada akidah Ahli Sunnah wal-Jamaah. Selain berguru dengan bapanya beliau juga berguru dengan ulama-ulama Ahlu Sunnah Wal-Jamaah di Mekah dan Madinah. Gurunya yang terkenal di Madinah ialah Syeikh Muhammad Hayat yang menulis kitab Al-Hashiyah ‘Ala Sahih al-Bukhari.

Imam Muhammad bin Abdul Wahhab merupakan seorang ulama’ yang banyak dipengaruhi Mazhab Hanbali tetapi pegangan tauhidnya berasaskan fikrah Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim yang juga bermazhab Hanbali. Beliau tertarik dengan pemikiran dua pemikir dan cuba menghidupkan kemabli konsep pemikiran Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim.

Ibnu Taimiyyah ( 1263 – 1328 M) adalah seorang pemikir besar umat Islam. Pemikiran Ibnu Taimiyyah menimbulkan bantahan beberapa ulama berfahaman akidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah yang sedang menguasai pemikiran akidah pada masa itu sehingga ia di penjara, dilarang menulis dalam penjara dan akhirnya meninggal dunia dalam penjara di Damshik Syiria. Ibnu Qayyim (1292 – 1350 M) adalah juga murid kepada Ibnmu Taimiyyah.

Secara umumnya Syeikh Mohammad bin Abdul Wahab muncul ketika pengaruh Mazhab Hanbali sedang merosot dan umat Islam pada masa itu banyak melakukan pencemaran akidah seperti khurafat, bid’ah dan wakil gabenor Turki pula terlibat dengan rasuah. Beliau telah melancarkan reformasi dan pembaharuan di semenanjung Arab dalam usaha membersihkan mengembalikan umat Islam kepada ajaran sebenar al-Quran dan Hadis Sahih Rasulullah s.a.w. Usahanya mendapat sokongan beberapa pemimpin kabilah Arab di Nejad.

Berasaskan gerakan reformasi inilah maka ia beruasaha menghapuskan rasuah, segala macam bid’ah, khurafat dan pelbagai perbuatan yang membawa kepada syirik. Penegak-penegak fahaman Wahabi ini juga menamakan fahaman mereka sebagai kumpulan Salafi iaitu kumpulan yang tidak terikat dengan mana-mana mazhab seperti mana yang berlaku di zaman Rasulullah dan kepimpinan sahabat-sahabat selepasnya.

Bagaimana pun terdapat juga penganalisis politik Arab bahawa gerakan Wahabi ini lahir sebagai usaha untuk membebaskan bangsa Arab dari pemerintahan Kerajaan Uthmaniah Turki yang menguasai negara Arab pada masa itu. Muhammad bin Saud (pengasas pemerintah Kerajaan Arab Saudi sekarang) telah memimpin kabilah Arab dan mendapat sokongan British berjaya memerintah Arab Saudi. Muhammad bin Saud dan pengasas fahaman Wahabi itu telah bersatu dalam usaha mengukuhkan kepentingan masing-masing dan usaha mereka berjaya. Kerajaan Uthmaniah Turki gagal mengawal kebangkitan Muhammad bin Saud dan perkembangan gerakan Wahabi kerana sibuk memnperkukuhkan penyebaran Islam di Eropah.

Menurut sumber sejarah ulama Mekah dan Madinah pada awalnya menentang fahaman Wahabi di mana berlaku isu kafir mengkafir yang hebat di antara ulama Ahli Sunnah Wal-Jamaah dengan ulama Wahabi. Bagaimana pun gerakan Wahabi berjaya menawan dua tempat suci itu maka bermulalah fahaman itu bertapak kukuh.

Pada prinsipnya fahaman Wahabi ini membuat terjemahan serta tafsiran al-Quran dan hadis sebulat-bulatnya mengikut fahaman pemimpin mereka serta ditegaskan dengan pendirian keras pergerakan itu. Mereka juga dikatakan menolak fahaman 4 Mazhab utama serta pegangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah.

Menurut K.H Sirajudin Abbas seorang ulama besar Indonesia dalam buku 40 Soal-Jawab Agama menyatakan konsep moden fahaman Wahabi antaranya adalah seperti berikut:

. Dalam mempelajari ilmu Usuludin hendaklah berpegang kepada fahaman yang diasaskan oleh Ibnu Taimiyyah.

. Di dalam amalan fiqh pula tidak berpegang kepada mana-mana mazhab malah boleh menampal antara satu sama lain (Talfiq).

. Berpegang kepada sumber al-Quran dan hadis sahih sahaja tanpa berpegang kepada Ijmak dan Qias.

. Melarang keras umat Islam berdoa melalui tawassul (perantaraan).

. Melarang ziarah kubur walaupun maqam Rasulullah s.a.w. Kerajaan Arab Saudi membenarkan Jemaah Haji dan Umrah menziarah Maqam Rasulullah itu adalah atas dasar menziarahi Masjid Nabawi.

. Menghancurkan tugu-tugu peringatan kerana semua itu menjadikan umat Islam syirik.

. Melarang membaca qasidah dan berzanji yang memuji Rasulullah s.a.w. tahlil dan seumpamanya.

. Melarang umat Islam mengadakan sambutan hari-hari kebesaran Islam seperti Maulid Nabi, Isra’ Mikraj dan lain-lain.

Melarang umat Islam belajar sifat 20 dan seumpamanya.

. Fahaman Asa’ari iaitu fahaman Ahlu Sunnah Wal-Jamaah dibuang jauh-jauh.

. Imam dilarang membaca Bismillah pada permulaan Fatihah.

. Tidak boleh membaca wirid-wirid yang memuji Rasulullah.

. Tidak boleh melagu-lagukan lafaz al-Quran dan laungan azan tetapi boleh baca dengan lurus sahaja.

. Menghadakan majlis zikir secara berjemaah dilarang.

. Amalan tariqah dilarang sama sekali.

. Amalan berwirid selepas solat berjemaah dilarang keras.

Fahaman Wahabi menjadi pegangan Kerajaan Arab Saudi yang menguasai Masjidil Haram Mekah dam Masjid Nabawi Madinah. Berdasarkan penguasaan dua tempat suci ini maka fahaman Wahabi terus bertapak kukuh. Malah Kerajaan Arab Saudi menjadi negara Islam paling banyak menyumbangkan dana-dana untuk perkembangan dakwah dan syiar Islam di seluruh dunia.

Di negara kita Kerajaan Perlis Indera Kayangan satu-satunya negeri yang tidak berpegang kepada mana-mana mazhab. Mereka mendakwa berpegang kepada al-Quran dan hadis sahih sepenuhnya seperti mana yang diamalkan di Arab Saudi. Terdapat kalangan pelajar Malaysia yang belajar di Arab Saudi dan mahir dalam selok belok hukum tertarik dengan fahaman Wahabi dan mengembangkannya di Malaysia.

Penerapan fahaman Wahabi di kalangan umat Islam di negara ini yang sejak berkurun lama berakar umbi dengan Akidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah telah menimbulkan salah faham di kalangan umat Islam. Manakala bagi orang awam yang kurang mahir dalam selok belok mazhab maka lebih baik bertaqlid dengan pegangan mazhab sedia ada.

Hakikatnya fahaman Wahabi tidak membawa pemikiran baru tentang akidah. Mereka hanya mengamalkan apa yang telah dikemukakan oleh Ibnu Taimiyyah dalam bentuk yang lebih keras berbanding apa yang diamalkan oleh Ibnu Taimiyyah sendiri. Perkembangan fahaman Wahabi dan penerapan mazhab lain dalam masyarakat Islam di negara ini tidak dapat dielakan kerana kesan pengglobalan ilmu di dunia hari ini.

Malah dalam penghayatan muamalah dan sisitem perbankan Islam di negara ini dan di dunia sekarang banyak menggunakan kaedah yang terdapat dalam Mazhab Hanafi.

Kesimpulannya dari segi tauhid fahaman Wahabi bukan ajaran baru dan juga tidak termasuk antara 73 cabang ajaran sesat seperti mana yang dijelaskan ulama berdasarkan huraian hadis penjelasan 73 ajaran sesat itu.

Tarikh : 23 Disember 2006
Sumber : Pengarah Bahagian ILIM
Editor : PRO JAKIM
Hits : 15860

Author: admin
• Monday, November 16th, 2009

Sudah dua minggu usia blog ini rupa-rupanya. Dua minggu juga selepas peristiwa menyedihkan isteri saya keguguran. Hajat di hati untuk menulis sekurang-kurangnya 3 kali seminggu -kalau mungkin setiap hari-, namun seperti biasa KITA HANYA MERANCANG, ALLAH TAA’LA YANG TENTUKAN…

Sudah beberapa hari saya ingin menulis mengenai Wahabi, bukan untuk mempertahankan Dr MAZA, tapi sebagai satu penjelasan, sekurang-kurangnya dari apa yang saya faham. Saya bukan peminat tegar Dr MAZA. Saya menghormati keilmuannya, tapi saya agak -dari apa yang saya baca dan dengar- beliau agak ‘keras’. Ketika menyeru ke arah penerimaan pelbagai aliran dalam agama, beliau sendiri agak ‘sukar’ untuk menerima pandangan orang lain. Benar atau tidak, saya tidak pasti kerana saya tidak ‘rapat’ dengan penulisan dan pemikiran beliau.

Biasanya kita akan menganggap Wahabi sebagai negetif, seakan-akan satu ajaran sesat. Sebagai bekas pelajar Universiti Islam Madinah, saya juga menerima tempiasnya. namun ‘manhaj’ saya yang berbeza dengan Dr MAZA -atau mungkin isu ini tidak besar di Terengganu- menjadikan saya ‘jauh’ dari kontroversi ini.

Ketika merangka apa yang hendak ditulis, terbaca pula minda Dr MAZA di Mingguan Malaysia. Rasanya tak banyak perbezaan dengan apa yang hendak ditulis -melainkan dari uslub bahasa-. Jadi elok saya copy dan pastekan saja pandangan beliau untuk renungan bersama :

Hantu Wahabi oleh Dr Mohd Asri b. Zainal Abidin

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1115&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_06.htm

ADA beberapa orang mencadangkan saya menyentuh sedikit apa yang disebut minggu lepas oleh seorang aktivis tarekat yang menulis mengenai penangkapan saya.

Bagi saya, adalah perkara biasa untuk ahli tarekat tidak selesa dengan saya kerana beberapa artikel saya sebelum ini turut mengkritik budaya meminggirkan rasional atau budaya taklid buta yang sering berlaku dalam banyak tarekat sehingga pengikut melakukan apa sahaja yang diperintahkan oleh ‘syeikh’ mereka tanpa bertanya lagi dalilnya.

Namun persoalan besar yang sering ditimbulkan siapakah ahli sunah wal jamaah? Oleh kerana jenama ini begitu laku, bahkan ia juga sering dijadikan senjata, maka banyak pihak mengisytiharkan jenama ini milik mutlak mereka dan sesiapa yang menentang mereka bererti terkeluar dari ahli sunah wal jamaah.

Mereka ini mengingatkan kita kepada Napoleon Banaparte yang berkata: “I am France and France is me“. Maka ramailah orang mendakwa ahli sunah wal jamaah, walaupun jika ditanya mereka apakah itu ahli sunah wal jamaah mereka meraba dan terpinga mencari jawapannya.

Atau jika diberikan jawapan, ia mempunyai kepentingan yang tersendiri. Sehingga kelompok tarekat yang sering mencetuskan dakwaan berbagai-bagai termasuk konsep ‘wahdatul ujud’ (kesatuan tuhan dengan makhluk) yang dilaungkan oleh Ibn ‘Arabi juga mendakwa mereka ahli sunah wal Jamaah.

Lebih sedih lagi, ada yang mendakwa “ahli sunah hanya yang ikut mazhab Syafie”. Kalau demikian, habislah terkeluar imam-imam lain seperti al-Imam Abu Hanifah, al-Imam Malik, al-Imam Ahmad daripada kalangan ahli sunah wal Jamaah. Sehinggakan mereka yang tidak qunut pun dikeluarkan daripada ahli sunah wal Jamaah. Maka barangkali tiga perempat dari umat Islam ini terkeluar daripada ahli sunah wal Jamaah.

Padahal istilah sunah di sini merujuk sunah Nabi Muhammad SAW yang merangkumi penghayatan al-Quran dan sunah, maka ahli sunah ialah mereka yang menghayati hakikat ini. Sementara perkataan jamaah merujuk kepada para sahabat Nabi SAW dalam erti kata lain menghayati al-Quran dan sunah seiring dengan jalan yang ditunjukkan oleh generasi agung Islam iaitu para sahabat.

Sesiapa yang yakin bahawa al-Quran dan sunah adalah pegangan mereka sementara penghayatan para sahabat adalah panduan mereka, maka mereka adalah ahli sunah wal Jamaah (lihat: al-Mausu’at al-Muyassarah fi al-Adyan wa al-Mazahib wa al-Ahzab al-Mu’asarah, 40-54, WAMY). Maka dengan itu berbagai mazhab fikah sekalipun ada perbezaan pandangan mereka tidak dikeluarkan daripada ahli sunah wal jamaah.

Ini seperti kata ‘Abd al-Qahir al-Baghdadi (wafat 429H): “Maka termasuk dalam golongan ini mereka yang mengikut al-Imam Malik, al-Imam Syafi’i, al-Auza’i, al-Thauri, Abu Hanifah, Ibn Abi Laila, Abi Thaur, Ahmad bin Hanbal, Ahli Zahir dan sekelian yang beriktikad dalam bab yang menggunakan akal berdasarkan prinsip-prinsip tauhid sifat. Mereka tidak mencampur-adukkan sedikit pun dengan bida’ah ahli hawa nafsu dan sesat”(al-Baghdadi, al-Farq bain al-Firaq, m.s 314-315, Beirut: Dar al-Ma’rifah).

Jika kita lihat di sini, mazhab Zahiri yang hanya berpegang kepada zahir nas sahaja dikategorikan sebagai ahli sunah, apakah tidak qunut, letak tangan atas dada ketika solat, tidak berwirid beramai-ramai selepas selepas solat terkeluar daripada ahli sunah?

Tauhid

Wakil Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam satu wawancara menyebut antara ciri sesat itu mereka yang membicarakan pecahan tauhid kepada Rububiyyah, Uluhiyyah, Asma dan Sifat. Namun dalam ciri-ciri ahli sunah wal Jamaah yang dikeluarkan oleh WAMY, bahkan sukatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), sukatan sekolah negara kita dan kebanyakan universiti di dunia ini, itulah ciri manhaj kefahaman tauhid ahli sunah yang diajar.

Sejak saya sekolah rendah, dalam usrah, dalam buku akidah Presiden Pas, dalam buku sekolah kerajaan UMNO dan di negara-negara Arab, di United Kingdom, Amerika Syarikat dan Eropah itulah bentuk perbahasan akidah ahli sunah yang diajar. Hari ini wakil JAIS menyatakan itu bukan akidah ahli sunah bahkan dikaitkan dengan akidah penyembah berhala. Akhirnya, dikaitkan dengan wahabi. Kalau begitu telah lamalah kita semua wahabi.

Saya amat dukacita, jika golongan agama itu suka menjadikan senjata kafir mengkafir, sesat menyesat sebagai alat untuk mempertahankan kedudukan dan diri, akhirnya umat yang musnah. Izinkan sekali lagi saya menyebut perkataan Prof. Hamka: “Kadang-kala dikatakan kaum muda tidak hormat kepada ulama. Padahal yang mereka katakan ulama itu bukanlah Imam Malik atau Imam Syafie, tetapi beberapa pegawai kerajaan yang memakai serban dan jubah. Dan beliau pun merasakan dirinya ulama kerana pada tangannya sudah ada surat tauliah”. (Hamka, Teguran Suci Dan Jujur Terhadap Mufti Johor, m.s. 66).

Daripada cerita tauliah pergi ke cerita wahabi. Setiap yang berbeza pendapat dengan mereka yang memegang kuasa agama dilabelkan wahabi.

Minggu lepas Pengarah JAIS menyatakan bahawa orang bukan Islam tidak boleh masuk masjid kerana mereka bagaikan wanita haid. Dalam keadaan ramai bukan muslim salah faham terhadap Islam, fatwa seperti ini dikeluarkan. Padahal pada zaman Nabi SAW para perwakilan muslim dan bukan muslim sama ada Yahudi, Kristian dan selain mereka masuk berjumpa Nabi SAW dalam masjid.

Mereka memahami Islam dari masjid dan berurusan dengan kerajaan Islam dalam masjid. Ini disebut dalam banyak hadis. Jika Pengarah JAIS itu memilih pendapat yang saya anggap tidak kukuh dan merugikan Islam di Malaysia dan saya memilih pendapat para ulama yang menyatakan bukan muslim boleh masuk ke masjid jika ada keperluan, adakah saya telah menjadi wahabi dan sesat?

Apakah pula jika satu hari Allah takdirkan saya berada di tampuk kuasa, maka pendapat beliau pula akan dihukum wahabi dan sesat? Rosaklah agama jika menjadi mainan hawa nafsu dan kepentingan!

Saya bukan peminat karangan Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab (1115H). Saya suka dengan Dr. Yusuf al-Qaradawi yang menyatakan jiwanya begitu dekat Ibn Taimiyyah (meninggal 728H). Begitulah juga saya. Namun saya sama sekali tidak dapat menerima tabiat suka mengkafir dan menyesatkan tokoh ilmuwan seperti yang berlaku sekarang ini.

Jika saya tidak bermazhab Maliki, saya tetap membantah mereka yang menghina al-Imam Malik bin Anas, kerana seorang muslim wajib membela muslim lain yang dizalimi, apatah lagi tokoh ilmuwan. Sekalipun saya bukan pengikut Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab, saya tetap tidak akan mengizinkan beliau dicerca, dikafirkan dan dihina. Apatah lagi, kesannya besar.

Mereka yang membangkitkan isu kafir dan sesat wahabi ini akan mengheret Arab Saudi secara khusus dan beberapa negara Arab lain sebagai sesat dan mungkin kafir. Mereka ini ada agenda yang tersendiri, yang berpusat di Lebanon dan ada agen-agennya sudah sampai ke negara ini. Rancangan menghidupkan kafir mengkafir sesama umat. Ini akan dihuraikan dalam tulisan akan datang.

Baru-baru ini UIAM meraikan kedatangan tokoh ilmuwan terkenal ‘Abd Allah bin ‘Abd al-Muhsin al-Turki, Setiausaha Agung, Muslim World League dalam International Conference on Jurisprudence of Minorities in the Light of Maqasid al-Shariah.

Tokoh ini dalam tulisannya Mujmal I’tikad Aimmah al-Salaf memuji akidah dan perjuangan Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab, antaranya beliau menyebut: “Berterusanlah al-Syeikh Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab menyeru kepada akidah yang bersih dan bersinar. Dengan tauhid, beliau menentang syirik, dengan ilmu beliau menentang khurafat” (m.s. 105, Beirut: Muasasah al-Risalah).

Dr. Yusuf al-Qaradawi juga menyebut dalam Fiqh al-Aulawiyyat memujinya, dengan berkata: “Bagi al-Imam Muhammad bin ‘Abdul Wahhab di Semenanjung Arab perkara akidah menjadi keutamaannya memelihara benteng tauhid daripada syirik yang mencemari pancaran tauhid dan dikotori kesuciannya.

Beliau telah menulis buku-buku dan risalah-risalah dalam perkara tersebut. Beliau bangkit menanggung bebanan secara dakwah dan praktikal dalam memusnahkan gambaran-gambaran syirik. (m.s. 263, Mesir: Maktabah Wahbah).

Seorang lagi tokoh fekah yang terkenal di zaman ini, yang banyak pandangannya dirujuk, Dr. Wahhab al-Zulaili menyebut: “Sesuatu yang tiada syak padanya, menyedari hakikat yang sebenar, bukan untuk meredakan sesiapa, berpegang kepada ayat al-Quran yang agung (maksudnya): “Jangan kamu kurangkan manusia apa yang menjadi hak-haknya (surah Hud: 85), bahawa suara kebenaran yang paling berani, pendakwah terbesar untuk islah (pembaikan), membina umat, jihad dan mengembalikan individu muslim kepada berpegang dengan jalan salafus soleh yang terbesar ialah dakwah Muhammad bin ‘Abdul Wahhab pada kurun yang kedua belas hijrah.

Tujuannya untuk mentajdidkan kehidupan muslim, setelah secara umum dicemari dengan berbagai khilaf, kekeliruan, bidaah dan penyelewengan. Maka Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab ialah pemimpin kebangkitan agama dan pembaikian (islah) yang dinantikan, yang menzahir timbangan akidah yang bersih.” (Rujukan: Dr. Wahbah al-Zuhaili, Risalah Mujaddid al-Din fi Qarn al-Thani ‘Asyar, m.s 57-58).

Sekali lagi, seperti yang pernah saya tanya dahulu, apakah mereka semuanya wahabi kerana memuji Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab. Apakah mereka jika berceramah di negara ini akan ditangkap kerana tiada tauliah dan tauliah pun tidak boleh diberikan kepada mereka kerana mereka ada unsur wahabi?

Dalam sejarah, akibat permainan golongan agama seperti ini al-Imam Ahmad bin Hanbal pernah dijatuhkan hukuman oleh ulama pemerintah pada zamannya, al-Imam al-Bukhari juga sama. Wahabi telah menjelma bagaikan istilah hantu yang digunakan oleh orang tua-tua dulu untuk menakutkan budak-budak.

Maka, tidak pentinglah sama ada hantu itu wujud atau tidak di situ, tidaklah penting sama ada orang tua-tua itu pernah melihatnya atau tidak, tidaklah penting apa rupanya, yang penting kanak-kanak menjadi takut dan orang tua-tua dapat duduk selesa bersembang di meja kopi dengan gelak ketawa sampai ke pagi.

Category: pelbagai  | Tags: , , ,  | 5 Comments
Author: admin
• Wednesday, November 04th, 2009

Tiga soalan mesti setiap hari : Dari mana kita datang? Apa yang kita buat di muka bumi ini? Ke mana kita akan pergi? Jika kita menjawabnya dengan tepat, jiwa akan tenteram kerana kita lebih tahu tujuan kita, lebih terarah, lebih fokus, dan masa serta usaha tidak terbazir dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah.

Ya… Kita semua -atau majoriti- tahu jawapannya. Malangnya kesibukan harian melupakan kita. Secara saintifik kita akan mengatakan kita berasal dari cantuman dua sel ayahanda dan bonda kita. Tapi dari mana sel itu datang? Mesti ada asalnya bukan? Pencarian mencari asal kejadian tidak akan berakhir… Sebagai Muslim, kita beriman asal kejadian kita adalah dari Nabi Adam A.S., diciptakan Allah Ta’ala dari tanah… terlalu panjang pula untuk ditulis sehingga wujudnya kita di muka bumi ini.

Apa pula tugasan kita? Jawapan mudah pada lisan, sangat-sangat-sangat sukar untuk dipraktiskan : menjadi Khalifah Allah. Menjadi Khalifah Allah? Bukankah makna khalifah pengganti? Bagaimana mahu mengganti Tuhan Yang Maha Esa, Maha Perkasa, Maha Berkuasa? Bukan pengganti… al-khalifah di sini adalah satu amanah untuk mentadbir muka bumi ini. Besarnya amanah yang dipertanggungjawabkan kepada manusia. Sebagai pentadbir sebuah planet yang amat unik. Kita tidak sama dengan makhluq Allah yang lain. Kita ada kesedaran, sesuatu yang tidak dimiliki oleh haiwan, tumbuh-tumbuhan, batu-batuan dan lain-lain. Tidak siapa yang mampu menafikan : kita berbeza… Dan bersama keistimewaan yang dikurniakan, tanggungjawab yang tidak mudah… pentadbir muka bumi ini. Pasti sekali tidak lepas dari tanggunjawab yang dipikul bersama

Dan aku tidak menciptakan Jin dan Manusia melainkan untuk beribadat kepada-Ku

Ke man kita kan pergi? Bukankah setiap hari kita melihat, membaca tentang kematian, yang biasa atau yang tragis. Ya, kematian… Itu hanya pintu kepada perjalanan kita ke alam berikutnya. Selepas melalui perjalanan yang jauh : Hanya dua destinasi terakhir : Syurga atau Neraka…

Mungkin blog ini sudah ditaqdirkan untuk bermula dengan ‘keredupan’. Belumpun sempat ‘bersedih’ dengan kehilangan bakal bayi, Malaysia dikejutkan dengan penahanan Dr MAZA, bekas mufti Perlis kerana mengajar tanpa tauliah… Mengajar tanpa tauliah???

Category: pelbagai  | Leave a Comment
Author: admin
• Tuesday, November 03rd, 2009

Kebiasaannya pabila hendak bermusafir, kita akan mengharapkan cuaca menyebalahi kita. Sudah tentu cuaca cerah adalah harapan setiap musafir, perjalanan dijangka lebih mudah dengan cuaca sebegitu. Namun cuaca berubah pantas. Kekadang kita menyangka panas ke petang, namun hujan di tengahari. Di ketika yang lain, hujan yang lebat di kala pagi akan berhenti tiba-tiba…

Bukan cuaca yang ingin dikupas. Saya memulakan perjalanan blog ini dengan ‘cuaca redup’. Hari Ahad, blog ini mula ‘hidup’, hari berikutnya saya mendapat ujian bila isteri tercinta keguguran. Tiga hari sebelumnya, beliau mendapat alahan teruk. Sangka kami itu alahan biasa, lagipun usia janin yang baru 8 minggu, memang masa untuk alahan. Taqdir Allah Taa’la, kami kehilangan janin itu. Baru terbentuk seketul daging, yang ‘berusaha’ untuk ‘hidup’ di muka bumi Allah ini.

Hikmahnya : melihat janin yang telah sebesar itu menginsafkan diri betapa hidup ini bermula dengan pertemuan dua sel : sperma dan telur, menghasilkan jutaan gandaan sel… Betapa ‘kita’ berusaha untuk hidup walaupun tanpa kesedaran pada awal kejadian kita, bersaing bersama jutaan sperma yang lain, membesar 9 bulan dengan penuh rintangan di dalam perut bonda kita, dilahirkan dengan ‘perjuangan hidup mati’ bonda tercinta, membesar, dari bayi kepada kanak-kanak, menjadi remaja dengan segala masalahnya, seterusnya melalui usia muda, dewasa dan seterusnya …

Dalam usia 36 tahun, mungkin ini masa terbaik untuk muhasabah. Sebenarnya setiap masa adalah sesuai untuk muhasabah diri, cuma dengan melihat janin keguguran di depan mata, terfikir dan terdetik di hati betapa ruang masa tidak dioptimumkan sebelum ini…

Category: pelbagai  | Leave a Comment